Sunday, May 15, 2011

Terima Kasih Cikgu :)

Selamat Hari Guru kepada semua guru-guru seMalaysia.Terutama kepada semua guru-guru yang telah berusaha mendidik saya sejak saya di bangku Prasekolah sehinggalah sekarang di IPG(Institut Pendidikan Guru) Kampus Bahasa Melayu.Rentetan menimba ilmu bermula saya di Prasekolah di SK Paya Redan sekitar tahun 1994 dan masuk ke tahun satu sehinggalah ke tahun enam di sekolah yang sama pada akhir tahun 2000. Pejuangan menuntut ilmu saya diteruskan apabila masuk ke SMK Air Molek selama lima tahun semenjak tahun 2001 sehinggalah tahun 2005. Hasil titik peluh semua guru-guru dan berkat mereka semua, saya pula akan menjadi pelapis kepada profesion mereka, InshaAllah satu hari nanti. Sememangnya cita-cita menjadi guru telah saya tanamkan dalam jiwa semenjak dibangku sekolah rendah lagi dan berkat doa ibu bapa dan usaha saya inilah hasilnya. Walaupun hakikatnya saya bukanlah seorang murid yang cemerlang dalam prestasi akademik tetapi hanyalah usaha yang biasa-biasa dilakukan ini. Namun, saya tetap bersyukur kepada Yang Maha Esa kerana memberikan laluan yang baik dan semulia ini dan cita-cita saya selama ini akan termakbul dalam beberapa bulan sahaja lagi.Doakanlah supaya saya juga akan menjadi seorang guru yang berkaliber dan yang paling penting ikhlas terhadap tugasnya mendidik anak-anak bangsa.Insha Allah.:)Untuk itu saya rakamkan sebuah sajak ciptaan saya sendiri kepada semua yang bergelar guru:

Ketika Dia Teguh Di Hadapan


Ketika dia teguh di hadapan,
aku di belakang mendengar,
dengan gema suaranya,
ada tinggi rendahnya,
halus terus menyusup di benak akal,

Ketika dia teguh di hadapan,
aku di belakang mendengar,
kalimahnya satu persatu aku teliti,
mengerti berhati-hati,
dengan bersenjatakan tajam kapur,
diukir elok ilmu di dada,
dengan berperisai papan hitam,
teguh ditahan pekerti mulia,
dengan pengalaman sedia ada,
disiang halus hitam dunia.


Ketika dia teguh di hadapan,
aku dibelakang masih mendengar,
bibirnya manis,
pandai mengukir senyum dan tawa,
langsung tiada cacat cerca,
dalam dia berkata-kata.

Kini,
aku pula dihadapan,
menyambung warisan si guru tua,
anak bangsa usaha dipelihara,
dengan ilmu didada,
dengan teguh pekerti mulia,
dengan segala apa yang ada
aku semahu-mahunya,
tiada sezarah aku menyimpannya
menyebar ilmu seluasnya kepada mereka anak bangsaku.



-hafidz-
3.10a.m
10 Ramadhan 1429h
Bilik C4

 



2 comments:

Hairun Azmi said...

Jasa cikgu amat besar kepada kita...

Hafidz said...

kalu tiada guru siapa la kita sekarang nie..